Pages

In the name of Allah, the Beneficient, the Merciful
'O mankind, eat from whatever is on earth (that is) lawful and good and do not follow the footsteps of Satan. Indeed, he is to you a clear enemy.' (Al-Baqarah: 168)

Saturday 3 July 2010

Cara Penyembelihan Islam

Semalam, sebaik sahaja melihat rancangan IMAM MUDA di tv, saya terpanggil untuk berkongsikan maklumat ini dengan anda semua. Petikan artikel kali ini saya ambil sumbernya dari buku Quran Saintifik: Meneroka kecemerlangan Quran daripada teropong sains oleh Dr. Danial Zainal Abidin; diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn Bhd; cetakan ke lapan; 239 - 241.

Perbincangan berkenaan pemakanan dalam Islam tidak akan sempurna tanpa menyentuh isu penyembelihan haiwan dalam Islam. Binatang yang halal dalam Islam dibahagikan kepada dua kategori. Pertamannya, yang susah ditangkap bagi disembelih (seperti rusa dan kijang) dan yang keduanya yang mudah ditangkap bagi disembelih (lembu dan kambing). Hal ini dijelaskan Allah di dalam surah al-Maidah ayat 94 yang bermaksud, "Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya Allah mengujimu dengan sesuatu dari binatang buruan yang dapat ditangkap oleh tangan-tanganmu dan dengan menggunakan tombak-tombakmu."


Berdasarkan nas ini, daging binatang liar yang halal dimakan menjadi halal selepas ia diburu dengan menggunakan dengan senjata tajam dan ia mati selepas dilukai oleh senjata itu. Berhubung dengan ini Adi Bin Hatim pernah bertanya nabi berkenaan binatang yang mati selepas terkena golok. Nabi berkata, "Jika kamu melempar dengan golok dan golok itu menembusi kulitnya (dan melukainya) maka makanlah dagingnya. Jika tidak makan jangan dimakan dagingnya." Hadis ini direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

Demikian juga hukumnya (iaitu halal) sekiranya binatang ini diburu dan ditangkap oleh binatang-binatang liar (seperti anjing) yang terlatih dengan syarat daging binatang yang ditangkap itu tidak dimakan oleh binatang pemburu itu. Dalam surah al-Maidah ayat 4, Allah menjelaskan, "Katakanlah, dihalalkan kepadamu makanan yang baik-baik dan binatang yang diburu oleh binatang buas yang terlatih yang kamu lepaskan buat memburu binatang sedangkan kamu telah mendidik anjing itu dengan sesuatu yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka bolehlah kamu memakan binatang yang ditangkap oleh anjing itu dan sebutlah nama Allah ketika melepaskannya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat perhitungannya."

Berhubung dengan binatang yang mudah ditangkap, semasa melakukan penyembelihan, umat Islam diarahkan supaya merehatkan haiwan berkenaan dan kemudian dengan menggunakan sebilah pisau yang tajam memotong bahagian leher haiwan itu, Dalam konteks ini Muslim meriwayatkan kata nabi yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah menuntut keelokan dalam setiap perkara. Apabila kamu menyembelih elokkanlah penyembeliha. Maka tajamkanlah pisaumu itu dan rehatkanlah binatang sembelihanmu."


Umat Islam dilarang daripada menyeksa dan menyakiti binatang-binatang sebelum penyembelihan dilakukan. Dalam sebuah riwayat oleh Abdul Razak, Umar Al-Khattab pernah melihat seorang lelaki mengikat kaki seekor kambing dan kemudian mengheretnya ke tempat penyembelihan lalu Umar pun berrkata, "Celaka kamu. Bawalah ia ke tempat penyembelihannya dengan cara yang baik." Tambahan daripada iutu, perbuatan menajamkan pisau di hadapan haiwan yang bakal disembelih juga dilarang oleh agama. Mengikut sebuah riwayat oleh Abdullah Bin Abbas, seorang lelaki selepas membaringkan kambing yang akan disembelihnya, telah mengasah pisaunya di hadapan kambing itu. Nabi pun berkata, "Apakah kamu hendak membunuhnya dan menjadikannya bangkai? Mengapa kamu tidak mengasah pisaumu sebelum kambing itu dibaringkan?" Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Hakim.

Prosedur Sembelihan dalam Islam


Sembelihan dalam Islam perlu dilakukan dengan memutuskan saluran pernafasan atau trakea, saluran penghadaman atau osefagus (oesophagus), di samping pembuluh darah arteri karotid dan saluran darah jugular (jugular veins) di bahagian kiri dan kanan haiwan yang disembelih. Yang tidak boleh dipotong adalah saraf tunjang yang terletak di belakang leher haiwan itu.

Pemotongan saluran pernafasan dan pembulu-pembuluh darah ini menyebabkan darah terus melimpah keluar sekali gus menurunkan tekanan darah secara mengejut di samping menjadikan sistem otak terputus daripada bekalan oksigen dan glukosa. Keadaan ini menyebabkan haiwan itu terus pengsan tanpa menderita sakit diikuti dengan gelupur beberapa saat selepas itu. Haiwan yang disembelih ini menggelupur disebabkan otaknya kehilangan oksigen dan bukannya disebabkan sakit. Walau bagaimanapun, jantungnya masih terus mengepam darah disebabkan saraf tunjangnya yang mengawal sistem denyutan jantung masih berada dalam keadaan yang elok kerana ia tidak dipotong semasa penyembelihan dilakukan.

1 comments:

:: hayati :: said...

Haiwan yang disembelih ini menggelupur disebabkan otaknya kehilangan oksigen dan bukannya disebabkan sakit.<--- baru sy tau.....tq sbb share info sains ni..

Post a Comment